"Kalau Org Kampung Dengar Bunyi 'Tu', Kami Dah LARI Dah !" - Org Kg Dedah Cerita SEBENAR Kes Sekeluarga Dihanyutkan Kepala Air
Penduduk Kampung Air Puteh, Kemaman menyifatkan tragedi fenomena kepala air yang membabitkan 10 mangsa di Jeram Air Putih berhampiran kampung berkenaan, adalah bencana terburuk pernah melanda kawasan itu.
Menurut penduduk, kawasan jeram itu sememangnya terkenal sebagai kawasan rekreasi dan menjadi lubuk digemari ramai kaki pancing.
Kata mereka, kawasan yang terletak berhampiran Hutan Simpan Bukit Banui itu juga sering dikunjungi oleh pengunjung dari seluruh negeri ini untuk berkelah dan mandi-manda.
Penduduk, Dillah Hashim, berkata bagaimanapun ramai pengunjung tidak mengetahui risiko fenomena kepala air di situ dan masih menjalankan aktiviti air ketika hujan lebat.
"Kebanyakannya orang luarlah, yang meninggal lemas semua orang luar belaka. Orang kampung ini, kalau bunyi air kuat... hujan... dia orang lari dah... tapi macam orang luar ni dia tak endah.
"Dia tak tahu tempat tu akan berlaku air besar (kepala air). Patutnya kena waspada, bila hujan kena berhati-hati, tak mustahil akan berlaku kepala air," katanya
Menceritakan lanjut, katanya Jeram Air Putih terletak kira-kira 14 kilometer (km) dari kampung berkenaan, namun kenderaan biasa biasanya tidak boleh sampai ke sana.
"Kereta biasa boleh sampai dalam lapan km sahaja. Kalau nak ke atas lagi ke kawasan perkelahan itu, pengunjung perlu menggunakan kenderaan pacuan empat roda sejauh enam km berikutan keadaan jalan yang berbatu dan tidak sesuai dengan kenderaan biasa," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, biasanya hanya mereka yang mahir mampu mengendalikan kenderaan di laluan berkenaan.
Hanyan berkata, pihaknya percaya salah seorang mangsa iaitu Karim Abdullah, 39, yang merupakan pemandu jengkaut di Hutan Air Putih mahir dengan selok belok kawasan tersebut yang sememangnya sukar diakses menggunakan kereta.
"Sebelum ini pun kita selalu membuat pemantauan. Kawasan itu memang ke dalam (pedalaman), tempatnya menarik... jeram cantik dan menarik untuk dilawati dan riadah.
"Cuma kalau pengunjung tak maklumkan pada kita sebelum masuk, kita tak tahu, tak boleh beri amaran atau nasihat awal seperti jangkaan cuaca dan sebagainya," katanya.
Tengah hari semalam, mayat seorang wanita dan anaknya ditemui masing-masing terapung dan tersangkut pada pokok selepas dihanyutkan arus kira-kira 24 kilometer (km) dari tempat kejadian.
Menurut polis, sembilan beranak yang terbabit dalam kejadian itu ialah Karim Abdullah, 39; Azizah Eiyi, 40; Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah Karim, 16; Putri Nor Fatin Karim, 14; Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11; Putri Nurerina Natasya Karim, 10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.
Seorang lagi adalah tunang kepada Putri Balqis Izzati iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24, yang berasal dari Batu Pahat,Johor.
Sehingga kini, enam mayat telah ditemui iaitu Putri Aryana Umaira, dan Putri Nurerina Natasya, yang ditemui jam 12.05tengah hari tadi, selain Karim, ditemui jam 1.55 tengah hari.
Mayat Muhammad Haziq Ziqree ditemui terapung oleh pasukan SAR kira-kira jam 11.05 pagi tadi.